Apakah itu Kecelaruan Keresahan Sosial, Simptom dan Rawatan, Berserta Coretan Peribadi
” Detik terpandangnya cermin
pada kamar itu,
Detik itulah juga
si tukang melepas jari-jemarinya
yang rajin menyusun
rapi resah di hatinya”
Mengenang kembali rasa panik ketika terpandang riak muka sendiri di dalam ruang tandas awam. Jelek rasanya… ditambah pula dengan rasa tidak guna kerana merasakan diri ini terlalu berbeza dengan rata-rata manusia.
Segala usaha untuk menampakkan diri sebagai seseorang yang biasa dan tenang, yang tidak kelihatan pelik riaknya kerana resah keluar rumah, yang tidak selesa berhadapan dengan manusia mulai melemah.
Air mata susah ditahan pada saat-saat begini. Akhirnya tumpas juga. Benci rasanya apabila ia terjadi. Tiada ruang untuk menenangkan diri. Pada saat-saat itulah terasa diri ini direnung dan dihakimi. Mungkin juga itu bukan realiti, namun perasaan dan pemikiran sebegitu sukar ditepis.
………………………………………………………………………………….
Coretan kali ini dimulakan dengan sedikit penulisan peribadi penulis beberapa bulan yang lepas. Mungkin apa yang dirasakan penulis itu agak asing buat kebanyakan orang, jadi penulis akan menulis sedikit tentang Social Anxiety Disorder ataupun dalam bahasa melayu dikenali sebagai Kecelaruan Keresahan Sosial.
Penulisan kali ini ditulis dalam bahasa Melayu kerana penulis lihat tidak banyak artikel yang menulis mengenai mereka yang hidup dengan sosial anxiety dalam bahasa Melayu. Ratanya-ratanya dalam bahasa Inggeris.
Apakah itu Kecelaruan Keresahan Sosial (Social Anxiety Disorder)
Social Anxiety Disorder atau dalam bahasa Melayunya dikenali sebagai Kecelaruan Keresahan Sosial. Mungkin sahaja semua orang pernah melalui situasi-situasi di mana mereka berasa gementar ataupun takut dalam situasi sosial. Jangan risau, ianya biasa. Kerana gementar, rasa resah, gelisah ini lumrah dalam kehidupan sebagai manusia.
Namun, yang kurang normalnya adalah apabila rasa kegelisahan ini yang berterusan selama berminggu-minggu ataupun bertahun-tahun sehingga menyebabkan berlakunya perubahan negatif dalam kehidupan.
Simpton- Simpton Kecelaruan Keresahan Sosial
- rasa cemas/gelisah yang melampau dalam situasi sosial.
- rasa malu yang berlebihan.
- rasa loya dan pening.
- fikiran menjadi kosong.
- merasakan bahawa diri dihakimi dan dimalukan.
- menjauhi kawasan yang mempunyai orang.
- takut memalukan diri dalam keadaan sosial.
- risau yang berlebihan sebelum tibanya hari di mana mereka perlu bersosial.
Simpton-simpton di atas ini penulis sendiri pernah mengalaminya. Mahu dikatakan semua simptomnya sudah pun hilang juga tidak benar. kerana sehingga hari ini penulis masih sahaja merasakan stres yang keterlaluan apabila memikirkan harus meninggalkan rumah dan berurusaan dengan manusia… apatah lagi keluar bekerja.
Rawatan-rawatan Kecelaruan Keresahan Sosial
- Psikoterapi
- Ubat-ubatan
- Kumpulan Sokongan (Support Group)
Seperti biasa, penulis berharap agar artikel kali ini memberi sedikit pengetahuan kepada anda yang membaca berdasarkan pengalaman penulis sendiri. Ubatilah keresahan sosial seawal yang boleh, kerana penulis percaya keadaan ini mungkin boleh diubati dan penghidapnya juga mungkin boleh menjalani kehidupan seperti yang mereka mahukan jika berjaya mengawal anxiety mereka.
Rujukan:
https://klinikminda.com/fobia-sosial-kecelaruan-keresahan-sosial/
0 Comments