Menulis pula dalam bahasa Melayu kali ini. Post kali ini akan berbicara tentang pengalaman penulis sendiri bekerja dengan Appen sebagai transcriber bahasa Melayu.
Penulis mula mendaftarkan nama di bawah website Appen setelah mendapat tahu tentang kewujudan Appen dari blogger-blogger Indonesia. Jika kalian sudah membaca post penulis sebelum ini, pasti kalian tahu bahawa penulis telah menganggur selama lebih satu tahun. Jadi untuk berbakti kepada keluarga, penulis memberanikan diri untuk mencuba. Kalau tidak mendapat pekerjaan sepenuh masa, makanya bekerja secara freelance sahajalah kan? Itulah pemikiran penulis sewaktu itu.
Apa itu Appen
Menurut website Appen:
“Appen provides accurate and reliable human annotated datasets that fuel AI and machine learning for some of the world’s biggest brands…”
Jadi Appen sendiri menawarkan pelbagai kerja yang boleh dilakukan dari rumah seperti transcription, search engine evaluator, social media evaluator, data collection dan lain-lain.
Berapakah Anggaran Bayaran Appen
Sewaktu mendaftarkan diri di bawah Appen, kita akan diminta untuk tandatangan kontrak. Kontraknya akan meminta kita untuk merahsiakan isi kerja kita, data-data atau maklumat dalam projek dan bayaranya.
Oleh itu, penulis hanya boleh memberikan anggaran untuk pembaca. Lebih banyak kita melakukan kerja, lebih banyak bayaran yang akan kita perolehi. Dan penulis hanya dapat memberikan sedikit info bayaran untuk kerja-kerja transkripsi yang dilakukan oleh penulis sejak Januari tahun ini. Lain-lain projek, mungkin lain-lain kadar bayarannya.
Penulis agak rajin pada bulan pertama, jadi bayaran itu cukup untuk dijadikan wang untuk beli barang keperluan dapur di rumah atau buat membayar bil elektrik, air dan Wifi. Ia tidaklah setanding gaji yang diperolehi langsung daripada kerja sepenuh masa, oleh itu, ia hanyalah pendapatan sampingan sahaja yang boleh digunakan untuk membayar itu ini. Lepas itu, pokailah hahaha!
Pendapatan pada bulan-bulan seterusnya kurang banyak kerana motivasi penulis semakin menurun, jadi hasilnya itu adalah separuh daripada yang diperolehi pada bulan pertama. Setelah digunakan untuk isi minyak ayah dan beli beberapa buah buku, maka habislah wang itu.
Tentang Isi Kerja
Kerana ini adalah kali pertama melakukan kerja secara online yang berbayar, kerisauan itu memang ada. Kita harus melakukan beberapa langkah sesuai panduan yang diberikan dan juga harus memahami cara untuk gunakan platform kerja. Namun demikian, kerja sebenar itu tidaklah susah. Transcription atau transkripsi ini hanya memerlukan kita memberikan tumpuan kepada ejaan dan mempunyai daya pendengaran yang bagus serta kebolehan memahami panduan yang telah diberikan. Kalau buat sahaja kerja tetapi tidak ikut panduan, maka sia-sialah kerja itu. Oleh itu, amat penting untuk kita faham benar-benar tentang apa yang telah ditulis dalam panduan supaya tidak ‘sesat’.
Dalam projek pertama, penulis hanya bekerja sebagai transcriptionist sahaja. Untuk projek yang kedua pula, penulis ditawarkan untuk menjadi QA selain mengambil bahagian dalam transkripsi juga.
Namun untuk projek kedua ini, penulis mulai sibuk semula dengan pencarian kerja maka penglibatan penulis dalamnya tidak banyak seperti dalam projek pertama.
Meskipun bayarannya tidak seberapa, penulis juga bersyukur kerana mempunyai wang untuk diberi kepada keluarga, walaupun ciput, wang tetap wang. Tapi apa yang penulis boleh dapat daripada semua ini adalah isi yang boleh diletakkan dalam resume kerja penulis supaya tidak nampak kosong sahaja dek kekurangan pengalaman kerja sebenar penulis. Peluang bekerjasama dengan Appen ini benar-benar membuka mata penulis untuk merasa lebih dekat dengan mereka yang berkerja sebagai transcriptionist dan mendalamkan lagi minat penulis terhadap bahasa Melayu.
1 Comments
Pertama kali saya dengar mengenai appen. Ada rupanya website tawarkan kerjaya sebagai transkriptor. Biasa saya lihat di Linkedin, mereka ada circle tersendiri. Tapi, mesti penat kan nak tunggu bayaran? apa pun, semoga rezeki penulis luas dalam bidang ini
ReplyDelete