Cara Mendapatkan Rawatan Kesihatan Mental, Berserta Catatan Peribadi
(Bukan pakar. Ditulis berdasarkan pengalaman sendiri penulis, ambillah mana yang berfaedah sahaja)
Selama hampir lapan tahun, blog ini hanya wujud dalam angan angan penulis. Namun kali ini penulis mencuba untuk kembali memegang pen bagi menulis semula.
Implikasi pengambilan ubat dari doktor sejak umur 18 tahun dan pergelutan dengan masalah keresahan sosial serta kemurungan yang ditemani juga sedikit sebanyak menjadi batu penghalang untuk maju dalam penulisan serta… dalam kehidupan.
Jadi tolonglah diri anda sendiri, tolonglah anak anak anda. Ataupun orang yang disayangi. Mulakan langkah pertama untuk memberi erti sinar baru dalam kehidupan ini:
1. Rujukan kaunselor sekolah –> pegawai kesihatan klinik kesihatan –> pakar psikiatri di hospital kerajaan
Dalam hati penulis waktu itu hanya berharap bahawa guru disiplin akan membuang penulis dari sekolah. Namun, tidak juga. Rasa berat melangkah ke kelas dan rasa panik memaksa penulis akhirnya berjumpa dengan kaunselor sekolah setelah bertahun tahun bergelut dengan dengan masalah keresahan melampau yang tidak pernah membaik.
Selepas perjumpaan dengan kaunselor sekolah, dengan hingus yang mengalir, penulis dibawa ke klinik kesihatan untuk berjumpa dengan doktor sebelum dirujuk kepada pakar psikiatri di hospital kerajaan. Seingat penulis waktu itu masih belajar, jadi tiada cas dikenakan. Jadi bagi mereka yang masih belajar, sebaiknya berjumpa dengan kaunselor sekolah dulu untuk berbincang.
2. Dirujuk doktor swasta ke hospital kerajaan
Pengalaman penulis berjumpa dengan doktor ini sedikit janggal. Oleh kerana penulis sering merasakan sukar untuk membuka hati kepada doktor psikiatri, penulis sering menghilangkan diri dan tidak menghadiri janji temu pada masa yang ditetapkan.
Sehinggalah waktu penulis baru sahaja memulakan kerja selepas bertahun di rumah, kesukaran untuk berhadapan dengan orang serta rasa tertekan untuk keluar rumah memaksa penulis untuk kembali berjumpa dengan doktor psikiatri. Tetapi kali ini, dicas RM30 ketikapendaftaran di unit Psikiatri hospital kerana dirujuk oleh doktor swasta.
3. Dirujuk oleh doktor di klinik kesihatan
Boleh juga sebenarnya kalau kita terus berjumpa dengan doktor di klinik – klinik kesihatan berdekatan untuk membincangkan tentang keadaan kesihatan mental kita. Prosesnya hampir sama, mungkin saja akan dirujuk ke hospital berdekatan untuk berjumpa dengan doktor atau pakar psikiatri.
Bawalah seseorang untuk menemani kita apabila melalui proses – proses ini jika merasakan sukar untuk pergi seorang diri.
Terdapat banyak sumber maklumat mengenai cara cara mendapatkan rawatan kesihatan mental ini, namun mungkin kita kurang sedar akan kewujudannya kerana berasa serba salah serta malu untuk mengaku bahawa diri kita ini sebenarnya memerlukan bantuan.
Dengan sedikit coretan daripada pengalaman peribadi, penulis berharap bahawa post ini sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada yang mereka yang memerlukannya.
0 Comments